Kelumpang Jari atau nama saintifiknya Sterculia foetida merupakan sejenis spesies yang tergolong dalam famili Malvaceae subfamili Sterculioideae. Pokok ini dikatakan banyak dijumpai di Afrika, Australia, Bangladesh, Indonesia, India sehinggalah di Malaysia.
Pokok kelumpang boleh mencapai ketinggian sehingga 30 meter. Pokok ini mudah dikenali kerana bentuk daunnya seakan-akan jari dengan 7-9 anak daun. Pokok Kelumpang Jari boleh dijumpai di kawasan-kawasan taman perumahan yang sering dijadikan sebagai pokok landskap khususnya di utara dan timur Malaysia. Pokok ini saya temui di sepanjang jalan masuk ke UKM, Bangi.
Bunga pokok kelumpang jari sederhana besar, anggaran ukuran 10-15cm panjang. Bunganya bewarna hijau keungguan, berumpun dan keluar pada penghujung dahan. (Maaf.. kualiti gambar kurang memuaskan)
Buah kelumpang jari berkumpul dalam jambak menyerupai bentuk bintang. Buah yang muda berwarna hijau manakala buah yang telah matang atau masak berwarna merah gelap. Kulitnya tebal dan sedikit keras. Setiap buah mempunyai 10-15 biji yang berwarna kehitaman. Kaedah pembiakan pokok ini kebiasaannya melalui biji benih.
Menurut rujukan, kulit buahnya digunakan sebagai ramuan dalam masakan. Bijinya boleh dimakan sebagai kacang dengan dipanggang atau dimasak terlebih dahulu.
Sekiranya anda mempunyai pengalaman dengan pokok ini atau pernah menggunakannya, bolehlah kongsikannya di sini.
Number of View :30The post Pokok Kelumpang Jari appeared first on Segalanya Tentang Tumbuhan....