
Pokok Cincau Hitam atau nama saintifiknya Platostoma palustre tergolong dalam famili Lamiaceae. Pokok cincau lebih sinonim dengan nama Mesona chinensis dan Mesona palustris. Pokok Cincau Hitam sangat tidak asing lagi di kalangan kita kerana keunikannya untuk dijadikan sebagai bahan dalam pembuatan air cincau asli. Selain cincau hitam, terdapat 3 lagi jenis cincau yang dikenali Cincau Hijau, Cincau Perdu dan Cincau Minyak.

Saya sendiri pernah membiaknya sebelum ini. Pembiakkannya sangat mudah iaitu hanya menggunakan keratan batang atau keratan pucuk. Media atau tanah yang digunakan hendaklah mempunyai saliran yang baik atau tidak bertakung air. Pokok ini sangat sesuai tumbuh di kawasan yang sederhana panas. Daripada sepasu pokok cincau yang dibeli, saya telah membiakkannya berpuluh-puluh pasu. Pertumbuhan pokok cincau hitam sangat cepat sekiranya diberi air dan baja secukupnya.

Dala tempoh beberapa bulan, pokok cincau akan mengeluarkan tangkai bunga yang bersaiz panjang. Terdapat berpuluh-puluh kuntum bunga dalam satu tangkai bunga yang berwarna ungu kecerahan.

Menurut rujukan, Daun Cincau telah digunakan untuk membuat makanan pencuci mulut ( jeli ) dan minuman oleh orang Cina selama berabad-abad. Di Singapura, daun dan pucuk kering dijual di premis perubatan Cina. Air Cincau dianggap mempunyai kesan bagi menyejukkan badan. Dalam perubatan kaum Cina, tumbuhan ini digunakan sebagai ubat herba untuk penyakit hati, hipertensi, diabetes dan kesakitan sendi.
Selain itu, Ekstrak tumbuhan ini mempunyai aktiviti antioksidan yang kuat, berdasarkan kajian makmal oleh Yen et al. (2003).
The post Pokok Cincau Hitam appeared first on Segalanya Tentang Tumbuhan....